Monday, January 3, 2011
Wednesday, December 29, 2010
Tahniah, tahniah Malaysia juara Piala Suzuki 2010 (AFF). Walaupun kalah di di Stadium Gelora Bung Karno baru sebentar tadi, tetapi Malaysia berjaya merangkul geralaran Juara Piala Suzuki 2010 (AFF) dengan agreget 4-2. Tahniah sekali lagi Malaysia. Pasukan Malaysia bukan sahaja jadi juara Piala Suzuki 2010 AFF, malahan penyerang berbisa Malaysia juga merupakan penjaringan terbanyak sepanjang kejohanan ini. Ini kami tinggalkan kepada apa yang berlaku di sepanjang 90 minit di Stadium GBK sebentar tadi…….
Posted by Sarah Syamimi at 7:05 AM 0 comments
Monday, December 27, 2010
akhbar Indonesia canang Malaysia guna dukun
AKHBAR NonStop dakwa Malaysia menggunakan dukun dalam laporannya, semalam.
SEOLAH-olah tidak dapat menerima kekalahan sulung pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Indonesia berselindung di sebalik pelbagai alasan, termasuk sinaran laser dan bomoh.
Sinaran laser dikatakan punca pemain Indonesia hilang tumpuan, tetapi selepas jurulatih Alfred Riedl mengumumkan faktor itu bukan penyebab kekalahan pasukan kendaliannya, media Indonesia mula mencari alasan lain.
Akhbar NonStop, membuka pekung di dada Garuda apabila merujuk kepada bomoh terkenal Indonesia ketika membuat dakwaan Malaysia menggunakan dukun dalam laporannya, semalam.“"Kekalahan pasukan kebangsaan Indonesia sudah diramalkan ahli paranormal, Andi S Chalin,” lapor NonStop dalam berita utamanya. Penulis buku Bahasa Setan Dalam Perilaku Manusia itu meramalkan Indonesia akan tewas 3-0 kepada Malaysia.
“Daripada pemerhatian mata batin saya, saya nampak kita akan tewas 0-3. Kita tewas bukan kerana pemain lemah, tetapi kerana ada unsur-unsur jampi paranormal Malaysia,” kata Andi kepada NonStop menerusi sms tiga hari sebelum final di Bukit Jalil.
Malah selepas perlawanan akhir pertama kelmarin, Andi sekali lagi menghubungi akhbar berkenaan dan mendakwa ada ahli perniagaan Malaysia mendapatkan khidmat bomoh dari Thailand, China dan India.
Posted by Sarah Syamimi at 4:07 PM 0 comments
Tiga gol belum cukup: Fahmi
USAH terlalu selesa dengan bekalan tiga gol. Itu pesan benteng terakhir skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, semalam.
Dia yang tidak mahu beraksi sambil lewa serta terlalu yakin pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, esok berharap perkara sama turut dilakukan rakan sepasukan lain.
Posted by Sarah Syamimi at 4:06 PM 0 comments
Raja resah gangguan luar
8
"KAMI datang ke Jakarta untuk menang," laung pengendali skuad negara, K Rajagobal sejurus tiba bersama anak didiknya ke sini, semalam bagi melangsaikan baki perlawanan final Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, esok.
“Tahap keyakinan pemain kita cukup tinggi. Tapi saya sudah arahkan mereka untuk melupakan kemenangan besar ini sebaliknya menghadapi baki 90 minit Rabu ini (esok) dengan penuh tumpuan.“Untuk tempoh dua hari ini, saya tidak sesekali mahu pemain hilang fokus dengan temu ramah atau acara tiada berkaitan. Segala pertanyaan harus melalui saya atau pengurus pasukan (Datuk Subahan Kamal).”
Tidak dinafikan apa yang membuat Rajagobal kian gelisah adalah gangguan luar yang harus dielak pemain pada saat genting ini walaupun berbekal modal selesa hasil kemenangan 3-0 ke atas Indonesia, kelmarin.
Pengendali itu turut berpendapat, kegagalan lawannya, Indonesia mempamerkan aksi sebenar di Bukit Jalil hasil daripada kelemahan dan kesilapan pemainnya sendiri, terutama penjaga gol, Markus Horison.
“Siapa dia (Markus) untuk menghentikan perlawanan?” tanya Rajagobal.
Posted by Sarah Syamimi at 4:06 PM 0 comments
JAKARTA - Menang atau kalah bukanlah persoalan yang menjadi keutamaan bagi pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya yang bertandang ke sini untuk melengkapkan perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF, esok. Sebaliknya, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, kehadiran beliau bersama anak-anak buahnya ialah untuk bermain atas dasar semangat kesukanan. "Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun, pastinya masing-masing berharap untuk menang. ''Tiada siapa yang mahu tewas. Jadi, lebih baik kita tunggu dan lihat saja perlawanan pada hari Rabu ini," katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini, semalam. Rajagobal yang tiba bersama pemain-pemain bimbingannya serta pengurus pasukan Datuk Subahan Kamal disambut pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di sini serta sekumpulan pelajar Malaysia. Tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia, kesemua pemain kebangsaan sempat beramah mesra dengan peminat-peminat mereka biarpun masing-masing masih kepenatan. Rajagobal juga memberitahu, beliau belum memutuskan sama ada akan menurunkan anak-anak buahnya menjalani latihan di padang Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di sini. Sementara itu, penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha optimis untuk menguasai GBK pada final kedua Piala Suzuki AFF2010 di gelanggang berkenaan Rabu ini. "Bagi seseorang penyerang, selagi tidak dapat menjaringkan gol, selagi itu kita tak berasa puas. Samalah seperti saya yang baru menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan ini. "Salah satu gol tersebut dijaringkan di GBK ketika kita tewas 1-5 pada aksi pertama peringkat kumpulan. Mungkin saya lebih ada 'feel' untuk menjaringkan gol di sini," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di Hotel Sultan di sini. Norshahrul, 24, bagaimanapun tetap memainkan peranan penting mencipta gerakan untuk dua daripada tiga gol Malaysia pada aksi final pertama malam kelmarin apatah lagi dia disifatkan oleh Rajagobal sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan ini. Pada masa yang sama, dia tidak terlalu berharap untuk memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala AFF Suzuki 2010 biarpun sebelum ini dia telah memenangi anugerah MVP bagi Liga Malaysia 2010. "Insya-Allah kalau ada rezeki. Siapa yang tak mahu menang anugerah ini. Saya akan cuba pamerkan aksi terbaik pada final kedua nanti bagi memastikan kejuaraan mutlak milik Malaysia," ujar Norshahrul. Perasaan hiba pula menguasai pemain sayap kanan kebangsaan, Amirulhadi Zainal yang terpaksa melupakan aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di sini kerana digantung perlawanan. - UtusanHarimau mahu mengaum lagi
Posted by Sarah Syamimi at 4:05 PM 0 comments
Sunday, December 26, 2010
Harimau baham Garuda
KUALA LUMPUR – Dendam terbalas! Garuda tersembam ke bumi dibaham Harimau Malaya. Nampaknya reputasi gah Indonesia sekadar omong kosong apabila anak-anak buah K. Rajagobal memastikan penyokong Malaysia berpesta di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan cukup menyakinkan, 3-0.
Luka kekalahan 1-5 di Jakarta telah diubati dengan kemenangan berharga ini dan Malaysia kini berpeluang cerah menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.
Turut menyaksikan kemenangan bersejarah itu ialah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dif-dif kehormat yang lain.
Dianggarkan sebanyak 85,000 penonton membanjiri stadium pada malam, semalam.
Nama Safee Sali layak disanjung sebagai wira Malaysia kerana dua golnya pada minit ke-59 dan 71 selain Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-67 memastikan Malaysia membuatkan Indonesia pulang dengan penuh kekecewaan.
Kemenangan ini sudah pasti memberikan kelebihan besar buat Malaysia yang akan bertandang ke bumi Jakarta pada Rabu depan untuk perlawanan akhir kedua.
Walaupun beraksi agak gementar pada separuh masa pertama, percaturan bijak Rajagobal memasukkan Ashari dan mengeluarkan
Mohd. Amirulhadi Zainal untuk menukar rentak serangan sebaik bermula separuh masa kedua membuahkan hasil lumayan buat pasukan negara.
Ashari bagaikan menjadi senjata sulit negara apabila serangan dari arah sebelah kiri jelas bertenaga dan membuatkan benteng Indonesia dalam keadaan kucar-kacir.
Detik gemilang Malaysia bermula 14 minit pada separuh masa kedua, apabila pengantin baru yang melangsungkan majlis persandingannya, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghukum kesilapan Maman Abdurachman di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Safee yang tidak dikawal untuk memberikan gol pembukaan buat Malaysia.
Keyakinan Garuda sedikit terjejas selepas Malaysia meraih gol pertama dan kesempatan itu diambil oleh pemain Malaysia, hasilnya, Ashari melakukan rembatan menarik dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk menewaskan Markus yang hanya mampu tergamam.
Keadaan di Bukit Jalil gegak gempita sementara penyokong Indonesia terus bermuram apabila Malaysia memperoleh gol ketiga hasil hantaran silang yang cantik daripada bek kanan, Mahalli Jasuli sebelum disudahkan melalui tandukan Safee pada minit ke-71 bagi meletakkan Harimau Malaya kini sebelah kaki untuk menjulang Piala AFF.
Selepas gol tersebut, aksi pemain Indonesia semakin longlai, namun sebaliknya keyakinan pemain Malaysia semakin menggila, malah hampir mendapat gol keempat melalui sayap lincah negara, S. Kunanlan pada masa kecederaan tetapi Markus sempat menghalang.
Dalam aksi di Jakarta nanti, Malaysia sudah pasti akan kehilangan khidmat Mohd. Amirulhadi Zainal yang mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan ini sementara Indonesia pula terpaksa meratapi ketiadaan Oktovianus Maniani yang turut menerima nasib yang sama.
Posted by Sarah Syamimi at 6:21 PM 0 comments